Tuesday 27 November 2012

Dadah - Faktor dan Kesan

Faktor-faktor yang mempengaruhi kesan-kesan dadah :
a) Jenis dadah
Perbezaan dari segi kesan ke atas fungsi system saraf pusat iaitu sama ada ia merosakkannya (contohnya heroin) atau merangsangkan (contohnya amfetamin dan kokain) atau merosak dan merangsangkan (contohnya ganja).
b) Jumlah digunakan
Kesan daripada dos kecil adalah berbeza daripada kesan dos besar, contohnya dos kecil heroin mungkin menyebabkan rasa mengantuk atau euphoria berbanding dengan dos besar yang mana akan menyulitkan pernafasan dan membawa maut.
c) Cara penggunaannya
Kesan dadah bergantung kepada cara penggunaannya (samada ditelan, disuntik, dihidu, dihisap atau diguna bersama dadah lain), jangka masa dan kekerapan mengguna.
d) Keadaan individu
Kesan dadah bergantung kepada umur, jantina, berat badan, kesihatan, daya tahan, pengalaman penggunaan dadah & aktiviti penagih.
Sebab-sebab Seorang Mengambil Dadah
Statistik dan profil penagihan di Malaysia menunjukkan bahawa sebahagian besar daripada penagih dadah adalah di dalam lingkungan umur antara 15-25 tahun.
Sebahagiannya adalah belia-belia yang masih bersekolah sama ada di sekolah kerajaan, swasta ataupun di pusat-pusat pengajian tinggi.

Di antara faktor-faktor yang mendorong mereka menyalahgunakan dadah adalah kerana :
  • Keseronokan dan ingin mengetahui dan seterusnya ingin mencuba-cuba untuk merasainya sendiri
  • Tidak mengetahui dengan sebenarnya bahaya-bahaya setiap jenis dadah tersebut.
  • Pengaruh rakan, kawan-kawan sebab hendak menyesuaikan dirinya dengan sesuatu kumpulan yang sebaya dengannya.
  • Mencari ketenangan jiwa kerana terlibat dengan sesuatu masalah kehidupan.
  • Menghilangkan sesuatu kesusahan yang dideritainya.
  • Untuk menghilangkan kerunsingan yang disebabkan oleh desakan ibu dan bapanya.
  • Tidak menggunakan masa lapangnya dengan melakukan perkara-perkara yang memberi manfaat dan berfaedah.
  • Masalah dan tekanan rumah tangga
  • Kurang kemesraan di antara ibu bapa dan anak-anak.
  • Keinginan untuk berlagak dengan cara hidup yang lebih tinggi daripada yang termampu olehnya dengan cara menjadi pengedar.
  • Adanya dadah di persekitaran dan kecekapan pengedar-pengedar untuk mempengaruhi pengguna baru.
  • Kurangnya pengetahuan agama, penghayatan nilai-nilai serta amalan agama.


Kesan dadah boleh dilihat daripada empat sudut iaitu :
1. Kesan Kepada Penagih
  • Penagihan akan menjauhkan diri daripada masyarakat umum dan bergaul hanya dengan kumpulan penagih, pengedar dan penjenayah.
  • Tidak bertanggungjawab kepada persekolahan dan prestasi kerja.
  • Dari segi fizikal, penagih akan menjadi kurus, lemah tenaga, malas dan kelihatan seperti dalam khayalan.
  • Pitam, pengsan, & berperasaan ganas
  • Daya tahan penyakit akan menjadi lebih dan mudah dijangkiti seperti kancing gigi, Hepatitis, Tibi, HIV/Aids dan maut.
2. Kesan Kepada Keluarga
  • Menjatuhkan maruah dan nama baik keluarga
  • Membebankan keluarga penagih kerana menghabiskan masa, tenaga dan wang yang banyak untuk merawatnya.
  • Rumah tangga menjadi porak peranda.
  • Berlaku perceraian dan keganasan rumah tangga di kalangan anggota keluarga.
  • Anak-anak menjadi terabai & seterusnya mengundang masalah sosial kepada mereka.
3. Kesan Kepada Masyarakat
  • Mengancam ketenteraman awam dengan kejadian jenayah seperti rompakan & samun
  • Perpaduan, pembangunan dan kemajuan masyarakat boleh terjejas akibat penglibatan remaja dan belia dengan dadah.
  • Persengketaan dan perselisihan antara masyarakat berlaku akibat penglibatan anggota masyarakat dengan dadah.
4. Kesan Kepada Negara
Negara dan masyarakat terpaksa menanggung kos yang tinggi akibat daripada masalah penyalahgunaan dadah yang berterusan.

Dadah - Ciri dan Jenis


Apakah itu Dadah?
Dadah atau “drug” adalah bahan atau kimia yang amat merbahaya kepada individu yang menggunakannya kerana ia mengubah cara minda dan tubuh manusia berfungsi.
Banyak hal yang berkaitan dengan dadah sentiasa menjadi bahan dalam berita.
Apabila mendengar saja perkataan dadah, kita akan terus memikirkan jenis-jenis dadah seperti ganja dan heroin. Tetapi, sebenarnya terdapat beribu-ribu jenis dadah di seluruh dunia ini yang digunakan oleh lebih kurang 200 juta manusia untuk pelbagai tujuan.

Dadah dan Ciri-cirinya
Dadah merujuk kepada sejenis bahan kimia psikoaktif yang mempunyai ciri-ciri seperti berikut :
  • Mempunyai kesan paling ketara ke atas sistem saraf pusat (Otak dan saraf tunjang)
  • Digunakan bukan untuk tujuan perubatan dan penggunaannya adalah dilarang
  • Diperoleh secara haram
  • Membawa kepada pergantungan fizikal dan psikologikal dan meningkatkan daya tahan terhadap dadah
  • Mendatangkan kesan-kesan buruk dan bahaya ke atas kesihatan dan fungsi sosial seseorang
Jenis-jenis Dadah
Setakat ini, dadah boleh dikategorikan kepada beberapa jenis seperti berikut :
  • Opiat dan Opiat sintetik
  • Stimulan
  • Ganja
  • Halusinogen
  • Depresen
  • Ubat-ubatan dan bahan-bahan yang disalah guna